DOJ : BUKTI PEMBANGKANG KETANDUSAN ISU

 

Pembangkang semakin ketandusan isu bagi memburukkan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) apabila terpaksa memainkan semula isu saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ).

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, berkata pembangkang memainkan isu DoJ bagi menyerang kerajaan kerana sedar pilihan raya umum semakin hampir.

“Pembangkang mahu menjadikan isu DoJ sebagai modal politik mereka dengan mengitar semula isu tersebut walaupun pelbagai penjelasan sudah diberikan oleh kerajaan.

“Isu DOJ pada hemat saya pernah dibangkitkan pada tahun lalu, tetapi sengaja dikitar semula dengan olahan baru kerana pembangkang berpendapat PRU semakin hampir,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Syed Ali yakin pembangkang tidak akan dapat memperdaya rakyat dengan memainkan semula isu kitar semula tersebut.

“Pada pemerhatian saya sejak beberapa isu ditular pembangkang, rakyat bagaimanapun tidak mudah terpedaya dengan sogokan fitnah tersebut, malah mereka tetap memberikan sokongan kepada kerajaan dan UMNO,” katanya.

Syed Ali menyifatkan isu DoJ yang dimainkan semula itu sekadar kitar semula kerana pembangkang sengaja menidakkan apa sahaja penjelasan yang dibuat oleh kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sepatutnya mereka (pembangkang) terima penjelasan tersebut dengan hati terbuka, bukannya memutarbelitkannya kerana agenda politik sehingga tergamak bersekongkol dengan pihak luar,” tegasnya.

Baru-baru ini, DoJ mengemukakan saman sivil terbaharu bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Leave a Reply

Your email address will not be published.