DOJ DICABAR LAKUKAN PENDAKWAAN – HISHAMMUDDIN

 

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) perlu membuat pendakwaan sekiranya mempunyai cukup bukti dan bukannya membuat kenyataan tidak berasas yang dilihat mempunyai motif tersembunyi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pendakwaan lebih penting berbanding kenyataan tidak berasas kerana ia memberi peluang pihak tertuduh untuk membuat pembelaan.

“Apabila DoJ mendakwa pihak terbabit beserta dengan bukti kukuh akan memberi peluang kepada orang yang dituduh itu membela diri dan membersihkan nama daripada tuduhan sebelah pihak.

“Saya nak nasihatkan kepada DoJ, kalau mereka mempunyai bukti yang kukuh, dakwalah. Jangan buat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan.

“Apabila mereka dakwa, orang yang didakwa itu boleh ada ruang untuk membersihkan nama masing-masing.

“Tetapi kalau hanya melalui kenyataan, akhirnya kalau tidak mengambil tindakan, maka kredibiliti DoJ itu sendiri boleh dipertikaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi perjumpaan dengan Setiausaha UMNO Negeri, Bahagian dan tiga sayap parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, Ahad.

Hishammuddin berkata, kenyataan bersifat tuduhan yang dikeluarkan DoJ kepada beberapa pemimpin negara ini bukan baharu wujud, malah perkara sama pernah dilakukan sebelum ini.

Selain itu, Hishammuddin turut membidas pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan kenyataan DoJ bagi meraih sokongan politik yang sekali gus mengelirukan rakyat.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.