DOJ : MALAYSIA PERLU TAHU ‘DALANG’ – RAHMAN

 

Barisan Nasional (BN) menyifatkan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengenai isu 1MDB ini dicetuskan oleh aduan oleh pihak tertentu yang mempunyai motif politik.

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau mengesyaki bahawa inidividu tersebut mempunyai agenda politik jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Malaysia berhak mengetahui siapakan pengadu tersebut dan DoJ perlu mendedahkan identiti mereka.

“Ini perlu untuk Malaysia mengesahkan apa kaitan pengadu terbabit dengan agenda parti pembangkang bagi menggulingkan PM dan Kerajaan yang dipilih secara demokrasi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, DoJ mengumumkan saman pelucuthakan sivil terbarunya untuk merampas ASD 540 juta dalam aset yang dibeli dengan dana didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Pemfailan pertama bagi pelucuthakan aset bernilai ASD1 bilion dibuat pada 21 Julai tahun lalu, dengan penyiasat AS berkata, rakyat Malaysia telah ditipu pada skala besar-besaran.

Ketika itu, mereka mengumumkan lebih AS$3 bilion didakwa diselewengkan daripada 1MDB dan berusaha untuk merampas kira-kira AS$1 bilion aset haram.

Dalam satu kenyataan yang ketiga dan terbaru, DoJ meletakkan angka yang didakwa diselewengkan itu pada AS$4.5 bilion dan sedang berusaha untuk merampas AS$1.7 bilion dalam aset yang dipercayai diperolehi dengan menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB.

Sementara itu, Abdul Rahman mengulas dakwaan yang dibuat DoJ perlu dibuktikan di mahkamah sebelum ia diterima sebagai fakta.

“Malaysia sudahpun menjalankan siasatan terperinci dan khususnya Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) tidak menemui sebarang bukti dana diseleweng 1MDB.

“Umumnya, 1MDB bukanlah pihak yang disaman malah aset yang didakwa DOJ diperolehi daripada sumber yang salah dan mahu dilucuthak, secara faktanya dibeli oleh entire yang tidak dimiliki atau dikawal mahupun berkaitan dengan 1MDB,” katanya lagi.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.