DOJ : PEMBANGKANG KELIRUKAN RAKYAT

 

Pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, sedang mengelirukan rakyat Malaysia mengenai implikasi pengumuman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada Sabtu.

Beliau berkata pembangkang kini kucar-kacir dan kelihatan berada di ambang perpecahan, oleh itu, mereka perlu mengalihkan perhatian orang ramai daripada masalah yang dihadapinya.

“Dan ini adalah semua daripada pengumuman DoJ itu (semalam), cubaan untuk memburuk-burukkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan mengalih perhatian rakyat Malaysia daripada fakta bahawa pembangkang kini dalam keadaan yang amat terdesak,” katanya dalam blog beliau https://sskeruak.blogspot.my/.

Salleh berkata implikasinya adalah mereka yang menentang Najib cuba mendapatkan Amerika Syarikat untuk terlibat dalam politik dalaman Malaysia, dan ia merupakan perbuatan khianat.

“Mereka melakukan perkara yang sama pada Julai tahun lepas dengan niat menggunakan pengumuman DoJ untuk menyerang Datuk Seri Najib. Ia gagal tahun lepas dan mereka cuba melakukanya sekali lagi, dengan mengharapkan ia berhasil kali ini.

“Sebenarnya tiada asas dalam dakwaan itu, malah, DoJ berkata ia merupakan tindakan sivil yang berdasarkan kepada aduan dan bukannya berdasarkan kepada mana-mana keputusan mahkamah. Malah, tidak ada tindakan mahkamah yang dibuat,” kata Salleh yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Sabah.

Beliau berkata DoJ bertindak semata-mata berdasarkan kepada aduan yang diterima.

“Dan DoJ menyatakan dengan jelas bahawa aduan perampasan sivil adalah semata-mata satu dakwaan bahawa wang atau harta terlibat dalam atau mewakili hasil jenayah, dan dakwaan ini tidak terbukti kecuali mahkamah menyatakan demikian,” kata beliau.

Beliau merujuk kepada saman sivil terbaru DoJ bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad.

 

Sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.