DOJ : USAHA “GANGGU’ POLITIK NEGARA

 

Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat gagal mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dalam tindakan sivil kali keduanya berhubung rampasan pelbagai aset yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata ini berlaku walaupun ada jaminan kerajaan akan memberikan kerjasama penuh dalam apa juga penyiasatan mengikut undang-undang terhadap syarikat Malaysia berdasarkan protokol antarabangsa.

“Justeru, kami memandang berat kerana DoJ sekali lagi gagal mendapatkan kerjasama itu daripada Kerajaan Malaysia atau 1MDB sebagai syarikat yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata pihaknya juga bimbang terhadap penamaan yang tidak sepatutnya dalam tindakan DoJ itu yang dilakukan tanpa sebab berhubung perkara dan individu tertentu yang hanya akan membuka ruang manipulasi dan gangguan politik dalam negara.

Dokumen terbaharu itu turut menamakan individu seperti ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho dan anak tiri Najib, Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood, di samping beberapa nama lain.

Katanya, ini mencadangkan motif yang melangkaui objektif rampasan aset dalam tindakan saman DoJ itu.

Tengku Sariffuddin berkata, sebelum ini ada beberapa siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap 1MDB, termasuk badan bipartisan seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), namun tiada unsur jenayah ditemui.

Selain itu, katanya, 1MDB masih menjadi subjek siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan tidak akan teragak-agak akan mengambil tindakan jika ada bukti penyalahgunaan wang daripada syarikat itu.

“Sehingga itu berlaku, tuduhan yang tidak dibuktikan tidak boleh digunakan sebagai fakta,” katanya.

Katanya, kerajaan Malaysia juga mengambil maklum mengenai kenyataan akhbar DoJ yang menyatakan aduan rampasan harta itu hanya dakwaan bahawa wang dan harta terbabit dalam kegiatan jenayah itu dan ia tidak dibuktikan sehingga mahkamah memberikan penghakiman yang menyebelahi Amerika Syarikat.

Sambil menekankan bahawa proses keadilan tidak disampaikan menerusi tajuk berita, beliau berkata Malaysia tegas menyokong ketelusan dan tadbir urus yang baik termasuk memastikan segala dakwaan mempunyai asas dalam fakta berbanding tuduhan daripada lawan politik.

Pejabat Perdana Menteri turut mempersoalkan niat di sebalik langkah terbaharu pihak berkuasa Amerika Syarikat memohon untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dikaitkan dengan wang yang didakwa dilarikan daripada syarikat milik kerajaan 1MDB.

“Ia menunjukkan wujud motivasi melangkaui matlamat merampas aset.

“Proses keadilan tidak tercapai menerusi usaha meraih tajuk berita,” katanya selepas laporan media antarabangsa memetik dokumen lebih 140 muka surat yang difailkan DoJ di sebuah mahkamah di California.

Dalam permohonannya, DoJ mengumumkan mahu merampas sebuah lukisan mewah, hasil keuntungan 2 filem Hollywood, kapal layar dan pelbagai hartanah dan barangan untuk mendapatkan balik sejumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion) wang yang dikaitkan dengan dana yang dicuri daripada 1MDB.

Ia merupakan sebahagian daripada tindakan susulan berpandukan siasatannya tahun lalu yang mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) dana 1MDB, melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.