ECRL ANUGERAH BUAT NEGERI PAHANG

Foto Zul Hafiz Bahrin@Watan-Online

 

Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang diusahakan Barisan Nasional (BN) bakal membawa perubahan besar kepada negeri-negeri pantai timur terutamanya Pahang.

Perdana Menteri (sementara) Datuk Seri Najib Razak berkata projek pembinaan kereta api laju yang menelan belanja sebanyak RM55 bilion itu mampu menjana ekonomi rakyat selain bakal membuka ruang-ruang pekerjaan berskala besar di negeri Tok Gajah itu.

“Saya sentiasa memikirkan cara untuk mengagihkan keuntungan ekonomi secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat.

“Dengan projek ECRL ini, secara tidak langsung kita juga menjana ekonomi penduduk di pantai timur khususnya Pahang.

“Laluan stesen ECRL yang baru jelas memberi kemajuan kepada pantai timur termasuk juga Pekan,” ujar beliau ketika berucap pada majlis Himpunan Mesra Anak-anak Pahang Lembah Klang di Dewan Bankuet, Menara Felda di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Mengulas lanjut Najib yang juga merupakan anak jati negeri Pahang menegaskan bahawa beliau tidak pernah melupakan negeri kelahirannya itu.

Beliau turut mengingatkan masyarakat terutamanya rakyat negeri Pahang untuk memilih pemimpin yang mampu membawa perubahan positif dan kemajuan kepada Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) yang akan datang.

“Yang penting kita nak lihat negeri kesayangan kita terjamin masa depan.

“Saya bukan nak gunakan pentas untuk berkempen tetapi saya nak maklumkan kepada tuan dan puan supaya memilih pemimpin yang berkemampuan,” ujar beliau.

 

Oleh : SYAKIRIN DAUDĀ 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.