EKONOMI NEGARA MASIH SIHAT, MAPAN – PM

 

Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan berjaya merangsang perkembangan ekonomi memberangsangkan, dengan mencapai 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini, walaupun berdepan pelbagai cabaran global.

Perdana Menteri berkata, ramai pihak tidak menilai kejayaan kerajaan menangani cabaran seperti kejatuhan harga minyak dan ketidakstabilan pasaran ekonomi serta perubahan dasar Amerika Syarikat (AS) yang memberi kesan kepada negara.

Beliau berkata, kejayaan itu membolehkan kerajaan meletakkan ekonomi negara dalam keadaan sihat dan mapan.

“Ia turut memberi keuntungan kepada syarikat yang akhirnya membayar zakat untuk membantu golongan memerlukan dan asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian zakat dan bantuan kepada asnaf serta penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pekan, Pahang, pada Sabtu.

Turut hadir adalah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, turut menerima pembayaran zakat berjumlah RM2.63 juta oleh 10 organisasi dan syarikat korporat untuk diagih kepada 6,300 penerima dalam kawasannya.

Antara penyumbangnya adalah Bank Rakyat, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Sapura Holdings masing-masing menyerahkan zakat berjumlah RM500,000, manakala Naza Corporation (RM280,000), Road Care Malaysia Berhad (RM250,000) dan Uda Holdings (RM200,000).

Tabung Haji, SME Bank Berhad dan Wekajaya Sdn Bhd masing-masing menyerahkan zakat berjumlah RM100,000, diikuti Affin Islamic Bank dan Yayasan Basmi Kemiskinan, masing-masing sebanyak RM50,000.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.