EQUANIMITY : ‘TIDAK PERNAH ADA’ – PDRM

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika dan polis Indonesia untuk membantu mengesan kapal mewah bernama ‘Equanimity’ sebelum ia disita pada 28 Februari lepas, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Tidak ada, tidak pernah ada,” katanya ketika ditanya sama ada pihaknya dihubungi FBI dan polis Indonesia bagi membantu mengesan kapal berkenaan yang didakwa dimiliki ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Surat Serah Hak Pereka Cipta dan Perjanjian Pelesenan Pengkomersilan Produk Inovasi i-Smart Tactical Vest (i-STV) di Bukit Aman, di sini, pada Selasa.

Sabtu lepas, portal tempatan melaporkan polis Indonesia menyita kapal mewah Equanimity di Bali yang dikehendaki Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Menurut laporan itu, kapal itu disita atas permintaan FBI yang meminta bantuan menguatkuasakan satu perintah mahkamah.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd sudah memohon untuk mendapatkan semula wangnya berjumlah AUD$320,000 (RM971,483) dalam sebuah akaun bank di Australia, Mohamad Fuzi berkata beliau belum berbuat demikian.

“Beliau (Wan Ahmad Najmuddin) ada hak dapatkan wangnya…cuma beliau berpendapat ia melibatkan urusan luar negara dan mungkin memerlukan perbelanjaan lebih besar,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Mohamad Fuzi dalam kenyataannya berkata wang milik Wan Ahmad Najmuddin di dalam akaun itu daripada sumber yang sah.

Menurut kenyataan itu, siasatan mendapati akaun tersebut pada awalnya dibuka oleh Wan Ahmad Najmuddin pada 2011 bagi memudahkan penyaluran dana pembiayaan pengajian diploma anak lelakinya di negara itu.

Katanya, pada 2016, akaun yang sama kemudian diaktifkan semula untuk merancang pengajian sarjana anak perempuannya di Australia juga.

Akhbar Sydney Morning Herald pada Jumaat lepas, melaporkan Polis Persekutuan Australia (AFP) membekukan akaun bank milik Wan Ahmad Najmuddin di negara itu, selepas mencurigai kemasukan wang hingga mencapai lebih AUD$320,000.

Turut hadir ke majlis berkenaan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.