EXCO DAP P.PINANG DIREMAN 5 HARI

 

Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh direman 5 hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti.

Turut direman ialah 2 beranak iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun yang merupakan pemilik kilang berkenaan serta anaknya berusia 37 tahun.

Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Ameera Mastura Khamis kira-kira 12.25 tengah hari Sabtu.

Bagaimanapun pihak peguam bela mahu memfailkan permohonan untuk mencabar perintah reman terhadap exco itu, lapor Bernama.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Peguam R.S.N Rayer dan Ramkarpal Singh mewakili exco itu manakala 2 beranak terbabit diwakili peguam Dev Kumaraendran.

SPRM menahan exco berkenaan pada  3.35 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang bersama Rayer selepas pejabatnya di tingkat 53, bangunan Komtar di sini dikunjungi lima pegawai SPRM pada  11.30 pagi.

Lelaki berusia 70 tahun itu pula ditahan pada pukul 6.05 petang manakala anak lelakinya ditahan pada 6.25 petang Jumaat, juga di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Khamis lepas, SPRM menjalankan operasi terhadap sebuah kilang haram memproses serbuk kayu yang dipercayai mencemarkan alam sekitar di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

SPRM turut mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda, Bukit Mertajam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang dikatakan beroperasi sejak 10 tahun lepas tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.