FELDA RANCANG BANDAR PINTAR

 

Menjelang 2050, satu transformasi dalam rancangan Felda 2.0 akan menyediakan opsyen baharu pendapatan dengan melaksanakan tanah rancangan kepada ‘bandar pintar’.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata tanah rancangan berwajah baharu itu bakal menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas lebih tersusun selain dilengkapi infrastruktur capaian internet berkelajuan tinggi yang akan menjadi antara peluang menjana pendapatan baharu yang boleh diterokai dalam bidang pelancongan.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pendapatan pertanian sahaja atau hanya kembangkan ekonomi misalnya dengan buka kedai semata-mata,” katanya sewaktu menjadi anggota panel sesi Dialog Transformasi Nasional (TN50) yang mengupas tajuk ‘Pemimpin Generasi Baharu Felda Aspirasi Menuju Tahun 2050’ bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bertindak selaku moderator sesi dialog yang dihadiri lebih 500 peserta di Menara Felda pada Selasa.

Dalam pertemuan dengan media, Shahrir memberitahu buat permulaan, projek Felda 2.0 akan dimulakan di tanah rancangan Felda Lurah Bilut di Pahang mulai Januari tahun hadapan dengan jangkaan peruntukan RM10 juta dan pelaksanaan inisiatif itu turut menggunakan pendekatan TN50 dengan input termasuk daripada masyarakat akar umbi.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.