FELDA TAK RUGI JUAL APARTMENT DI LONDON

 

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menafikan tuduhan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mengatakan Felda akan kerugian RM38 juta akibat penjualan Grand Plaza Serviced Apartment di London.

Jelasnya, pembelian pangsapuri tersebut adalah menerusi dana dalaman Felda dan tidak menanggung sebarang kos bayaran faedah.

Ini berbeza dengan dakwaan Rafizi yang kononnya, Felda membeli pangsapuri berkenaan menerusi wang pendahuluan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang didapati sebelum penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) yang dahulunya merupakan anak syarikat milik penuh Felda.

“Rafizi tidak sedar Felda merupakan sebuah badan berkanun yang mempunyai sumber pendapatan dan kewangan sendiri tanpa mendapat pembiayaan kos operasi dari kerajaan persekutuan sejak 1996.

“Ini bermakna perjalanan operasi Felda tidak langsung ditanggung oleh pembayar cukai mahupun peneroka,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Menjelaskan mengenai tuduhan Rafizi yang mengatakan Felda mendapat pinjaman daripada KWSP untuk membeli pangsapuri berkenaan, Shahrir berkata, ianya tidak benar.

Ini kerana Felda menerima pinjaman berjaminan kerajaan sebanyak RM6.5 bilion daripada KWSP pada Disember 2009 untuk membiayai keperluan program tanam semula peneroka Felda dan FGV yang ketika itu masih anak syarikat milik penuhnya.

Pangsapuri yang dibeli pada harga RM538 juta itu diselubungi kontroversi kerana dikatakan tidak mencatat keuntungan dan akan dijual tidak lama lagi.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.