FGV : ISA, ISTERI DISOAL SIASAT 4 JAM

 

Selepas hampir empat jam, mantan Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Isa Samad serta isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kemelut yang melanda syarikat perladangan itu.

Kedua-duanya tiba di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 9.40 pagi Rabu dan keluar meninggalkan bangunan pada 2 petang.

“Saya jelaskan beberapa perkara yang ditanya, saya rasa saya yang terakhir antara ahli lembaga pengarah syarikat yang dipanggil.

“Biasalah, bila ada sesuatu berlaku, saya sebagai bekas pengerusi kenalah beri penjelasan kepada beberapa isu yang timbul,” katanya sejurus selesai memberi keterangan.

Isa yang juga Ahli Parlimen Jempol juga diasak dengan beberapa persoalan sama ada beliau merasakan dirinya bersalah atau tidak dan juga pembabitan isterinya untuk dipanggil sama memberi keterangan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut dan berulang-kali menegaskan SPRM yang membuat keputusan berkenaan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.