FGV : SULAIMAN GANTI ISA

 

Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dilantik sebagai pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang baharu menggantikan Tan Sri Isa Samad berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu program di Putrajaya, pada Isnin.

Pelantikan Sulaiman dibuat bagi meredakan konflik dalaman FGV sekaligus mengembalikan keyakinan pelabur.

“Saya dah jumpa (Tan Sri) Isa dan idris jala dan kami telah bincang masa depan FGV dan Isa telah dengan rela hati melepaskan jawatan sebagai pengerusi FGV dan tempatnya diganti (Tan Sri) Sulaiman.

“Diganti bukan bermakna dia (Isa) bersalah. Kita akan tunggu hasil siasatan,” katanya.

Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila Isa dan Lembaga Pengarah memaksa Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim untuk bercuti 6 Jun lalu.

Susulan krisis itu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada krisis itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat itu.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, Sulaiman akan menjalankan tugas berkenaan sehingga kemelut yang melanda FGV berjaya diselesaikan.

Dalam pada itu Najib turut mengumumkan pelantikan Isa sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa serta-merta.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.