FILEM GANAS DORONG BULI SIBER

 

Jenayah buli siber dijangka meningkat jika filem-filem berunsur ganas dalam internet tidak disekat, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi SKMM, Dr Mazlan Ismail berkata pelbagai judul filem boleh ditonton dalam laman media sosial.

Menurutnya, filem keganasan mempengaruhi pemikiran anak-anak muda serta menyebabkan jenayah buli dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat dari tahun ke tahun.

“Kita tidak mempunyai kuasa untuk menyekat semua laman web tersebut namun meminta rakyat Malaysia sedar tanggungjawab masing-masing membasmi jenayah yang semakin meruncing itu,” katanya di Kepala Batas, Ahad.

Menurutnya, kewujudan filem di laman web yang tidak menghadkan umur dilihat bakal menyebabkan usaha Lembaga Penapisan Filem (LPF) menapis adegan ganas untuk mengekang keganasan tidak berhasil.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang dilaporkan mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya satu dari dua belia mengakui pernah mengalami pembulian siber di Malaysia berdasarkan kajian Stop Cyberbullying 2017 .

Berdasarkan statistik CyberSecurity Malaysia, buli siber dalam kalangan pelajar berlaku hampir setiap hari dengan 250 kes dilaporkan pada tahun 2012 manakala pada tahun 2013 terdapat 389 kes, 2014 (291 kes), 2015 (256 kes) dan 2016 (338 kes).

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.