FITNAH: RAFIZI, PORTAL BERITA DIBENAR RAYU

 

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli dan pemilik sebuah portal berita diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan di Putarajaya, pada Selasa untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak pembelaan mereka bagi komen adil dalam satu saman fitnah.

Kedua-duanya disaman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kenyataan Mohd Rafizi yang didakwa memfitnah mereka pada satu forum mengenai subsidi minyak di Bandar Tun Razak pada 22 Nov, 2014.

Panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum memberikan kebenaran itu kepada Mohd Rafizi, yang juga anggota Parlimen Pandan dan Chan Chee Keong.

“Kami bersetuju memberikan kebenaran untuk empat soalan (undang-undang) bagi kedua-dua kes,” kata Malanjum. Bersidang bersama beliau ialah dua hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Antara soalan undang-undang itu adalah sama ada kata-kata fitnah yang didakwa dibuat secara gurauan itu layak untuk pembelaan komen adil dan adakah sesuai bagi hakim yang mendengar permohonan penolakan itu untuk membuat keputusan sama ada kata-kata fitnah yang didakwa itu adalah fakta atau pendapat.

Dalam saman itu, Najib dan Rosmah mendakwa ucapan Mohd Rafizi telah dirakam oleh Media Rakyat dan dimuat naik ke dalam YouTube dan portal Media Rakyat oleh Chan atau pembantunya.

Najib dan Rosmah turut mendakwa Chan juga telah ‘share’ rakaman itu ke dalam akaun Facebook Media Rakyat yang boleh diakses secara meluas oleh pengguna internet di seluruh dunia.

Pasangan itu memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah berserta faedah dan kos.

Najib dan isterinya juga memohon untuk mengetepikan pembelaan bagi komen adil atas alasan perkataan yang dipertikaikan itu merupakan “kenyataan mengenai fakta dan bukan kenyataan bagi komen”.

Permohonan pasangan itu di Mahkamah Tinggi telah ditolak, mendorong mereka merayu ke Mahkamah Rayuan yang kemudiannya membuat keputusan memihak kepada mereka dan menolak pembelaan Mohd Rafizi dan Chan bagi komen adil pada 29 Nov, tahun lepas.

Peguam Wan Azmir Wan Majid mewakili Najib dan Rosmah manakala peguam Razlan Hadri Zulkifli bagi pihak Mohd Rafizi dan Chan.

 

Sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.