GELORA PAGOH SUDAH BERLALU – KHALED

 

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi peringatan kepada UMNO bahagian Pagoh supaya tidak terus bernostalgia dengan pemimpin lalu.

Beliau berkata, ahli UMNIO bahagian itu perlu menerima hakikat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini sudah bersama pembangkang.

Menurutnya, UMNO sangat beruntung kerana ‘gelora’ di Pagoh tidak melarat kepada keretakan besar di negeri kelahiran parti keramat itu.

“Krisis yang melanda UMNO Pagoh tidak merebak. Ia hanya sementara dan sudah reda.

“Kita tidak melihat berulangnya kelumpuhan seperti UMNO di Permatang Pauh 20 tahun dahulu,” katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Pagoh, Johor, pada Sabtu.

Terdahulu, mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Pagoh dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Pemangku Ketua UMNO bahagian Pagoh, ?Ismail Mohamed.

Sebelum ini terdapat anggapan pihak tertentu bahawa kerusi Pagoh yang kini disandang oleh Muhyiddin bakal menjadi seperti Permatang Pauh.

Parlimen Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi tradisi PKR sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Tegas Khaled, UMNO Pagoh mesti beralih kepada fasa baharu bagi menjelmakan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita mesti menang kerana ramai sekali yang beranggapan bahawa Pagoh berhadapan cabaran besar untuk UMNO dalam pilihan raya akan datang.

“Bagi saya cabaran dalam politik itu adalah lumrah dan akan sentiasa hadir. Masakan ada perjuangan tanpa cabaran.

Masakan ada samudera tanpa gelora. Masakan Malaysia yang moden ini tidak mempunyai pancaroba. Tanpa semua itu, maka tidak adalah perjuangan,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.