GUAN ENG PERLU CERMIN DIRI SENDIRI – PAS

 

Lim Guan Eng perlu mencermin diri sebelum membuat tuduhan melulu terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad apabila menyelar setiausaha agung DAP itu yang menuduh Abdul Hadi banyak menyerang pakatan pembangkang dan DAP.

Sebaliknya beliau berkata, Guan Eng perlu mengingati kembali siapa yang memulakan serangan sehingga mencampuri urusan dalaman PAS.

“Siapa yang mulakan serangan? DAP pecah berapa banyak kumpulan pun PAS tak pernah masuk campur.

“Jangan rasa kita tak hormat dia, tahun 2001 lagi waktu arwah Tok Guru Nik Aziz ada, DAP yang tak setuju dengan dokumen negara Islam.

“Mereka ugut PAS, nak ugut-ugut, siapa dia?,” katanya kepada sebuah laman portal, pada Selasa.

Idris berkata demikian mengulas kenyataan Guan Eng semalam yang mendakwa Abdul Hadi kerap menyasarkan serangan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH)

Guan Eng dilaporkan berkata, Hadi mula menyerang DAP sejak kedua-dua parti terputus hubungan politik pada 2015 dan Ahli Parlimen Marang itu semakin kerap mengeluarkan kenyataan berbaur permusuhan kepada partinya.

Mengulas lanjut Idris berkata, Presiden PAS kali ini bukan seorang individu yang boleh menurut segala perintah DAP seperti pemimpin pembangkang lain.

PAS dan DAP pernah menjadi sekutu gabungan pembangkang menerusi Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR namun hubungan kerjasama itu terputus pada 2015 selepas tidak sependapat dalam beberapa perkara terutama membabitkan perundangan Islam.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.