GUNA STRATEGI NBOS TANGANI SALAH LAKU PELAJAR

Kerajaan menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata usaha sama antara pelbagai pihak diperlukan bukan saja di antara kementerian itu dan pihak polis.

“Malah agensi lain juga termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan masyarakat secara menyeluruh bagi membentuk pelajar dengan nilai dan sahsiah yang positif.

“Program Pegawai Perhubungan Sekolah yang telah diwujudkan hasil daripada kesepakatan NBOS akan diwujudkan di semua sekolah-sekolah terutamanya sekolah yang dikesan berpotensi tinggi untuk terlibat dalam salah laku disiplin,” katanya.

Mahdzir berkata demikian pada sidang media sempena majlis Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid di Auditorium Cempaka Sari Perbadanan Putrajaya, di Putrajaya pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

 

 

Oleh Syakirin Daud

Videographer Zul Hafiz Bahrin

Leave a Reply

Your email address will not be published.