GURU BESAR DITUDUH GUNA DUIT ZAKAT

 

Seorang guru besar sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu susulan didakwa menggunakan wang zakat yang sepatutnya diberikan kepada pelajar.

Di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz, tertuduh, Zabidah Sulaiman, 57 didakwa menyalahguna pemberian wang zakat sebanyak RM5,000 daripada Syarikat Ladang Rakyat Terengganu yang sepatutnya disalurkan kepada 100 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Cheneh Baru 2, Kemaman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas di sekolah terbabit di bilik mesyuarat Syarikat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd pada 13 Julai 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat dan denda, jika bersalah.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Che Amir Che Musa memohon mahkamah menetap jumlah jaminan yang rendah kerana tertuduh perlu menanggung bapanya yang kini menjalani rawatan.

Zabidah kini bertugas sebagai guru besar Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan 11 Februari depan untuk sebutan semula kes.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.