HINA AGONG : PEMUDA PERAK LAPOR POLIS

 

Pergerakan Pemuda UMNO Perak bersama 12 badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis susulan tindakan seorang pengguna Facebook yang didakwa menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh pada 10 pagi Selasa dengan diketuai Ketua Pemuda UMNO Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi.

Pada 25 Jun lalu,  seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama ‘Catt Ginger’ memuat naik gambar Sultan Muhammad V yang disunting dengan gambar kurang sopan berserta ucapan Selamat Hari Raya.

Bagaimanapun, individu berkenaan difahamkan memuat naik kenyataan di laman Facebooknya pada 1 Julai lepas menafikan dia menghina Sultan Muhammad V selain sudah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Sementara itu, Syamsul Baharin berkata laporan polis itu dibuat kerana pihaknya melihat ianya boleh menimbulkan ketegangan dan keresahan di kalangan umat Islam.

“Perkara ini dilihat sangat kurang ajar kerana tindakan memperolok Yang di-Pertuan Agong bukanlah perkara yang boleh dilakukan sesuka hati tanpa menerima balasan sewajarnya.

“Kami berharap pihak polis dan SKMM dapat menyiasat dan memberi maklumat secukupnya agar pendakwaan dapat dijalankan oleh pihak pendakwa dan wajar menjadi iktibar kepada pengguna media sosial yang lain agar perkara seumpama ini tidak berulang,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.