HUBUNGAN MALAYSIA- INDIA PALING BERSEJARAH – NAJIB

 

Bersejarah. Itulah rumusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai lawatan rasmi enam hari beliau ke India, sejak Khamis lalu.

Beliau juga menyifatkan lawatan kali ini, yang ketiga baginya sejak menjadi Perdana Menteri berada pada kedudukan paling tinggi sejak kedua-dua negara memulakan hubungan diplomasi pada 1957.

Lawatan kali ini turut membawa beliau ke Chennai, Tamil Nadu, Jaipur dan Rajasthan, yang mana Perdana Menteri kelihatan teruja sepanjang berada di India.

“Hubungan kita sudah berkembang daripada satu dua bidang kepada pelbagai dimensi, strategik dan komprehensif.

“Pertemuan saya dengan pemimpin pusat di New Delhi dan pemimpin negeri di Tamil Nadu dan Rajasthan bukan sahaja mengeratkan hubungan kami, malah isu kepentingan bersama lain,” katanya pada sidang media terakhir sebelum berlepas pulang malam tadi di NEW DELHI.

Malah, di Rajasthan, Najib bertindak sebagai jurujual untuk membantu bidaan syarikat Malaysia dalam enam projek infrastruktur dengan anggaran pelaburan RM6.5 bilion di negeri itu dan beliau sifatkan dua daripada projek itu, termasuk pembinaan lebuh raya sepanjang 3,000 kilometer sudah hampir dalam tangan.

Najib juga yakin hubungan dan keakraban beliau dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, sambutan, layanan dan maklum balas yang diberi kerajaan India akan membawa hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap baharu.

“Selepas bertemu Perdana Menteri Modi, Sabtu lalu, saya tweet “our relationship is at all time high” (hubungan kita kini di tahap terbaik).

“Perdana Menteri Modi membalas mesej itu dengan berkata , “our relationship is set to go higher” (hubungan kita akan ke tahap lebih tinggi lagi),” katanya.

Kemuncak lawatan Najib kali ini ialah termeterainya 31 memorandum persefahaman bernilai RM158.4 bilion, lebih tinggi daripada yang ditandatangani dengan China, baru-baru ini.

Najib berkata, MoU paling signifikan adalah pembinaan bandar maritim bersepadu di Pulau Carey di antara MMC Port Holdings Sdn Bhd, Sime Darby Property Bhd dan syarikat India, Adani Ports bernilai RM100 bilion bagi tempoh 30 tahun.

Antara komponen utama projek itu ialah pembinaan Pelabuhan Pulau Carey oleh MMC Bhd dan Adani Group membabitkan RM41.3 bilion.

Perdana Menteri juga menerima Surat Hasrat (Letter Of Intent) melabur daripada dua syarikat tempatan iaitu Topworth Group yang akan melabur RM1.3 bilion untuk mengeluarkan kerajang aluminium untuk pembungkusan ubat di Bintulu, Sarawak dan Samarth Group yang akan melabur tambahan RM350 juta untuk mengeluarkan produk perubatan onkologi di kilangnya di Bandar Iskandar, Johor.

Di bawah Perjanjian Perkhidmatan Udara, India juga bersetuju untuk tambahan 1,861 tempat duduk seminggu untuk penerbangan ke enam bandar utama, iaitu Delhi, Chennai, Kolkata, Mumbai, Bengaluru dan Hyderabad. Malaysia mensasarkan 40,000 tempat duduk seminggu berbanding 35,000 ketika ini.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan 21 kapten industri India untuk mempelawa mereka melabur di Malaysia, sesi eksklusif dengan empat bilionair, pertemuan peribadi dengan tujuh syarikat gergasi India, selain mesyuarat perniagaan dengan sembilan pengusaha industri hiburan dan perfileman India.

Syarikat farmaseutikal India, Biocon yang beroperasi di Nusajaya dengan pelaburan RM1 bilion turut mengumumkan membuat pelaburan tambahan RM1 bilion lagi untuk membesarkan operasi.

Najib akan merasmikan fasiliti mereka dalam tempoh terdekat. “Lawatan ini juga ada dimensi baharu. Saya berjumpa pelakon Rajinikanth dan syarikat perfileman India.

Mereka bukan sahaja sedia menjadikan Malaysia sebagai lokasi perfileman, malah menggunakan kepakaran dan kemudahan produksi kita.

“Sektor ini membawa banyak kesan positif dalam menggalakkan pertukaran kebudayaan, saling hubungan kebudayaan, saling hubungan antara rakyat dan merancakkan industri pelancongan,” katanya.

Untuk memudahkan pergerakan pelancong, Malaysia menawarkan visa percuma 15 hari untuk pelancong India yang boleh diproses dalam masa 48 jam.

Ditanya apakah yang paling menggembirakan beliau mengenai lawatan kali ini, Najib mengakhirinya: “Evolusi hubungan Malaysia-India ketika ini”.

 

Sumber BHOnline

Leave a Reply

Your email address will not be published.