HUTANG KAD KREDIT PUNCA SUKAR BELI RUMAH

 

Hutang kad kredit terlalu tinggi adalah punca golongan muda kini tidak mempunyai sistem pengurusan kewangan yang baik.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz, hal itu juga memberi impak negatif yang tinggi dimana golongan muda tersebut sukar untuk membeli rumah meskipun pada nilai yang rendah.

Jelasnya, apa yang lebih kritikal adalah mereka yang diisytihar muflis itu berumur bawah 30 tahun.

“Pada akhir September, seramai 3.7 juta orang mempunyai kad kredit, orang muda yang kurang 30 tahun isytihar muflis daripada Januari sehingga September 2017 adalah sembilan orang berbanding 2014, 12 orang, tahun 2015 seramai 17 orang, 2016 seramai 22 orang.

“Punca muflis adalah kerana hutang lebih dari kemampuan,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad Wasali di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Terdahulu, Sapawi meminta kementerian menyatakan jumlah kes kebankrapan di kalangan generasi muda berkaitan penggunaan kad kredit dan apakah langkah kerajaan untuk membendungnya.

Mengulas lanjut Othman berkata beberapa garis panduan serta syarat yang lebih ketat telah dikenakan bagi menghadkan pengeluaran kad kredit.

Antaranya, kad kredit boleh dikeluarkan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM18 ribu ke RM24 ribu setahun.

“Dalam hal ini, bank negara akan memainkan peranan untuk memberi kad kredit kepada mereka yang berkemampuan sahaja bagi mengawal tahap hutang, kenyataan amaran juga akan dikeluarkan kepada peminjam untuk menyelesaikan baki hutang, Bank Negara juga akan membuat jaringan pendidikan kewangan bermula 2016 bagi memacu pendidikan kewangan.

“Selain itu, Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut akan memainkan peranan dalam memainkan peranan untuk memberi nasihat kepada mereka yang sukar untuk membuat bayaran balik,” ujarnya lagi.

Othman turut berkata penyelarasan juga telah dibuat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan beberapa agensi lain supaya dapat mengenal pasti butiran dan maklumat peminjam.

“Dengan hanya klik satu butang sahaja di dalam sistem kita dah boleh tahu semua data tentang peminjam yang ingin membuat permohonan beli rumah dan sebagainya,” jelasnya lagi.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.