INGKAR PERINTAH MAHKAMAH: SERINA BAKAL DIPENJARA

 

Pelakon, Serina Redzuawan bakal berdepan dengan hukuman penjara berikutan bekas suaminya, Gavin Edward O’Luanaigh memfailkan notis tunjuk sebab berhubung pelanggaran perintah persetujuan bersama.

Gavin atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar, 41, memfailkan permohonan ex parte (sebelah pihak) pada 17 April lalu di sini.

Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Gavin dalam prosiding itu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pada Selasa berhujah, banyak pelanggaran telah dilakukan Serina.

“Serina telah melanggar perintah persetujuan apabila membenarkan anak mereka, Tristan Tareef O’luanaigh, 7 tahun dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 6 tahun bermalam sebilik dengan Chef Wan di kediaman bekas bapa mertuanya itu pada 3 Disember lalu.

“Dalam perenggan yang dipersetujui itu juga menyatakan anak-anak tersebut  harus tidur bilik berasingan daripada Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail,” katanya.

Zainul Rijal berkata, Serina juga didakwa telah melanggar perenggan lapan perintah persetujuan bersama yang menghalang daripada memburukkan pemohon, Gavin dan anak- anak.

“Serina dalam posting Instagramnya yang bertarikh 19 dan 20 Mac telah memburukkan dan memperlekehkan ahli korporat  itu termasuk mendakwa Gavin berkhalwat.

“Serina juga telah mendakwa pemohon dihalang berjumpa Tristan dan Isabella selain anak- anak dilarang menghadiri kelas mengaji sedangkan Gavin telah menyediakannya,” katanya.

Beliau berkata, Serina turut melakukan pelanggaran perintah itu menerusi rancangan Melodi yang disiarkan pada 24 Februari jam 12.30 tengah hari.

“Justeru adalah wajar mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab dan kenapa notis komital (pemenjaraan) tidak boleh dikenakan terhadap Serina,” katanya.

Hakim Syarie, Salehan Yatim kemudian menetapkan 21 Mei depan untuk keputusan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.