INSIDEN TRAKTOR : KPM TUBUH JAWATANKUASA KHAS SIASATAN

 

Satu Jawatankuasa Khas Siasatan Dalaman akan ditubuhkan dalam kadar segera bagi menyiasat kejadian kemalangan melibatkan sebuah traktor pemotong rumput yang telah meragut nyawa seorang pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas di Negeri Sembilan pada Selasa.

Jawatankuasa Khas yang akan dipengerusikan sendiri oleh Pengarah Pendidikan Negeri itu akan menjalankan siasatan secara terperinci dalam mengenal pasti punca kejadian.

Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan sudah menerima laporan awal tentang insiden yang berlaku itu pukul 10.30 pagi.

Semasa kejadian, sebuah traktor pemotong rumput sedang menjalankan kerja-kerja memotong rumput kira-kira 30 meter berhampiran dengan aktiviti raptai pelajar.

Laporan mengatakan satu bunyi yang kuat kedengaran sebelum guru-guru mendapati dua orang murid tingkatan dua dan seorang murid tingkatan satu telah mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Pihak sekolah kemudian menghubungi Klinik Kesihatan Gemas, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis bagi mendapatkan bantuan.

Dalam kejadian ini, seorang pelajar tingkatan dua yang bernama Nur Afini Roslan telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala, manakala dua orang lagi dihantar ke Klinik Kesihatan Gemas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

KPM melalui satu kenyataan turut melahirkan rasa sedih, simpati dan kesal terhadap kejadian tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar yang terlibat.

Sehubungan dengan itu, KPM turut memohon kerjasama semua pihak supaya menghentikan penyebaran maklumat berkaitan kejadian ini bagi menghormati perasaan keluarga murid yang terlibat termasuk guru-guru dan pelajar lain di sekolah tersebut.

 

Oleh Syakirin Daud

Leave a Reply

Your email address will not be published.