ISU GHADDAR : ‘SILA TANYA KAFA’ – ANNUAR

 

Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menafikan beliau menggunakan wang perpindahan pemain import Mohammed Ghaddar ke Johor Darul Takzim (JDT) untuk tujuan peribadi.

Beliau berkata, perkara itu sengaja dijadikan polemik oleh pihak tertentu yang mahu memburukkan beliau.

Katanya, segala urusan perpindahan dan pembayaran dilakukan JDT terus ke dalam akaun KAFA.

“Ketika pembayaran dibuat, saya bukan lagi presiden KAFA, sebaliknya hanya bertindak sebagai penaja dan tidak ambil tahu cara pembayaran yang dibuat.

“Setahu saya tidak ada pasukan bola sepak di Malaysia yang mengisytiharkan harga menjual pemain import kepada umum, hanya Kelantan saja yang berbuat demikian,” katanya ketika sidang media Majlis Pengisytiharan Tan Seri Annuar Musa Al Hamra Red One Akedemi (TSAM ARMY) di Hotel Perdana, di Kota Bharu, pada Isnin.

Annuar berkata, banyak pihak menuduhnya tidak membuat kajian sedangkan beliau sudah meletakkan jawatan presiden KAFA sejak Oktober 2016 lagi.

Katanya, sejak itu beliau sudah tidak terbabit dalam sebarang aktiviti pengurusan KAFA sebaliknya hanya bertindak sebagai penaja.

“Jika mereka di luar sana mahu tahu ke mana perginya wang terbabit, boleh rujuk kepada pengurusan baharu KAFA.

“Agaknya ramai terlupa bahawa pada 2017 saya sudah tidak ada lagi dalam KAFA… agaknya aura saya terlalu kuat.. ramai yang ingat saya masih presiden.

“Saya tidak boleh campur, tidak pernah hadir mesyuarat, tidak tengok akaun dan tandatangan cek KAFA sejak Oktober 2016,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.