ISU KERUSI: AZMIN SELAR PPBM

 

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menempelak pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menggunakan media bagi menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung isu agihan kerusi di Selangor.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu berkata, PPBM tidak sepatutnya bercakap secara terbuka rasa tidak puas hati jika ada sebarang masalah dalam pengagihan kerusi.

Bagaimanapun Azmin menegaskan rundingan pengagihan kerusi PH bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Selangor masih berjalan dan yakin ia akan dibahagikan secara adil dan saksama.

“Saya lihat tiada sebab nak pergi ke ‘public domain’ (ruang awam) atau media.

“Biarkan proses berjalan terlebih dulu. Keputusan rundingan itu akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum pilihan raya dan kemudiannya akan diumumkan kepada media,” katanya selepas Majlis Perjanjian Memiliki Rumah di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, Ahad

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehudin Amiruddin, semalam yang mendakwa 12 kerusi UMNO Selangor akan diberikan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata proses rundingan itu perlu dibuat bersama parti komponen lain dalam PH dengan duduk bersama dan berbincang.

“Bukan saja untuk menang tapi nak memastikan sokongan untuk PH itu. Jadi kita memerlukan persetujuan bersama. Kita perlu bekerja sebagai pakatan,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan itu perlu bagi memastikan PKR, PPBM, Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP akan mendapat bahagian di Selangor.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.