ISU KERUSI : MAJLIS PRESIDEN PH CAMPUR TANGAN – MUHYIDDIN

 

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan campur tangan sekiranya pimpinan negeri gagal menyelesaikan kemelut agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Majlis Presiden PH sedia membantu mana-mana negeri yang masih gagal memuktamadkan proses rundingan kerusi DUN.

Bagaimanapun bagaikan cuba menyorok kemelut yang melanda pakatan itu, Muhyiddin bagaimanapun mendakwa isu agihan kerusi itu hampir selesai.

“Ada negeri yang dapat selesaikan sebahagian, bagus, tetapi kalau mereka kata mereka tidak dapat selesaikan dan memerlukan penglibatan ‘team’ rundingan nasional untuk membantu menyelesaikan masalah itu juga tidak jadi masalah.

“Yang boleh ialah pengerusi PH negeri sebagai contoh di Kelantan memaklumkan kepada Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu bahawa kami sudah berunding kerusi, sudah selesai agihan kerusi yang berbaki ini tidak dapat selesaikan kerana proses rundingan agak begitu hangat dan sebagainya, maka minta supaya pusat menguruskannya, maka pusat akan duduk bersama-sama dengan negeri untuk menyelesaikan rundingan.

“Itu keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden PH, bukan sahaja di Kelantan, kalau negeri lain juga memerlukan kerjasama, campur tangan atau bantuan team nasional untuk berunding melibatkan pemimpin-pemimpin yang ada di peringkat pusat, itu kami alu-alukan,” katanya.

Beliau yang juga Presiden PPBM berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran tabung derma PPBM di ibu pejabatnya, Petaling Jaya, pada Rabu.

Sebelum ini dilaporkan PH Kelantan gagal menyelesaikan masalah pertindihan bagi 14 kerusi DUN walaupun tempoh rundingan sepatutnya sudah tamat dan dijangka membawa isu itu ke peringkat pusat.

Selain Kelantan, Selangor juga masih gagal memuktamadkan soal rundingan kerusi sehingga ke hari ini.

 

Oleh Najamuddin Mohd Nor

Leave a Reply

Your email address will not be published.