ISU PERUNTUKAN : PAS SELANGOR MAKLUM PADA SULTAN

 

Selepas dicabar, PAS hari mengemukakan aduan rasmi kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan tindakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang masih lagi membekukan peruntukan tahunan kepada wakil rakyat PAS di negeri itu.

Memetik laporan sebuah portal, surat tersebut difahamkan telah diserahkan oleh Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi pada jam 2 petang pada Isnin kepada Pengawai Pengiring baginda, Kepten Ahmad Ramli Kardi di Istana Mestika, Seksyen 7 Shah Alam.

“Kita (PAS Selangor) serahkan surat itu kepada Sultan Selangor hari ini. Kita bukan minta campur tangan Sultan Selangor, tetapi surat itu adalah untuk memaklumkan kepada baginda mengenai apa yang berlaku sebenarnya mengenai isu sekatan peruntukan kerajaan negeri kepada wakil-wakil rakyat ketika ini.

“Sebelum ini kita telah berusaha mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar (Mohamed Azmin) termasuk meminta tarikh untuk mengadakan perbincangan. Namun, Menteri Besar memilih untuk bermain tolak-tarik dengan kita,” katanya.

Surat tersebut difahamkan telah diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Pada masa sama, Sallehen turut mencabar Azmin supaya menyatakan pendirian sama ada Menteri Besar itu benar-benar berniat mahu menyekat terus peruntukan tahunan kepada wakil rakyat PAS atau sebaliknya.

Sebelum ini, Azmin juga turut mencabar PAS supaya mengutuskan surat kepada Sultan Selangor berhubung isu berkenaan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.