JAMAL, PENYOKONG DIDAKWA GUNA KEKERASAN

 

Pengerusi Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersama sembilan penyokongnya didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan bagi menentang pelaksanaan undang-undang di Ampang Point, tahun lalu.

Selain Jamal, 47, sembilan penyokongnya yang turut didakwa ialah Reza Jamin, 37, Ariffin Abu Bakar, 47, Mohd Shabudin Abu Hassan, 47, Izzrul Idris, 32, Hasannen Zikri Harizan, 24, Mohd Faiz Amirul Mahsan, 22, Mohd Yusoff Mohd Sharif, 26, Abd Razak Hassan, 29, dan R Balaguru, 30.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian, Sungai Besar bersama tertuduh lain bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa sebagai ahli satu kumpulan perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama didakwa telah menggunakan kekerasan untuk menentang pelaksanaan undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bangunan Pasaraya Ampang Point, Ampang Jaya pada jam 4 petang 13 November 2016.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Selangor Muhamad Iskandar Ahmad bagi pihak pendakwaan memohon mahkamah memberikan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin setiap seorang sementara kes selesai dibicarakan.

Peguam Izzat Zabir Sariff yang mewakili semua tertuduh memohon supaya jaminan berjumlah RM10,000 diberikan kepada semua tertuduh dengan seorang penjamin.

Rushan Lutfi membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.