JANGAN JADI EJEN FITNAH – KU NAN

 

Generasi muda diminta bersyukur dengan agenda murni kerajaan dalam memperkasakan pendidikan serta keselamatan negara.

Mereka diseru agar tidak menjadi ejen penyebaran fitnah sehingga menimbulkan pelbagai polimik dan perpecahan berlaku dalam kalangan masyarakat.

Perkara itu ditegaskan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika berucap merasmikan Wacana Pemikiran Anak Muda Masa Depan Negara peringkat Zon Tengah anjuran Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, petang Jumaat.

Tengku Adnan menjelaskan salah satu agenda kerajaan adalah untuk mempastikan anak-anak bangsa Malaysia diberi pendidikan kerana kerajaan sedar tanpa asas pendidikan yang betul negara ini tidak boleh terus dimajukan.

Menurut beliau, generasi muda harus bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang dapat memberi sesuatu yang terbaik untuk anak mereka dan sekurang-kurangnya memastikan anak mereka menjadi seorang pelajar  diperingkat paling tinggi.

Beliau juga mengingatkan bahawa generasi muda di negara ini tidak pernah merasai keperitan yang mendalam sebagaimana dirasai oleh rakan-rakan sebaya di negara-negara lain seperti di India, Timur Tengah, Myanmar atau Indonesia.

Katanya, anak-anak muda di negara ini beranggapan segala kemudahan yang tersedia adalah biasa sedangkan pada hakikat sebenarnya ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengadakan kemudahan-kemudahan seperti hari ini.

Menyentuh soal penyebaran dakyah fitnah, Tengku Adnan berkata, golongan berkenaan seharusnya bijak menilai antara fakta kebenaran dan kepalsuan memandangkan mereka terdiri dari kelompok terpelajar dan berilmu.

“Mereka juga perlu menjauhi persepsi songsang dan mengelak dari diresapi pemikiran liberal tanpa sempadan kerana ini boleh mendorong untuk bertindak secara emosional.

“Sebagai anak muda, anda harus menjadi pemangkin dan bersama membantu kerajaan kerana anda kelompok penting dalam proses pembangunan negara,” katanya.

Seramai 250 penuntut universiti awam dan swasta dari sekitar Lembah Klang mengambil bahagian dalam program yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Kompleks Darul Puteri, Cheras.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.