JAWATAN DALAM PH JELAS – MUHYIDDIN

 

Kekeliruan tidak sepatutnya timbul berhubung siapa yang memainkan peranan utama dalam Pakatan Harapan (PH) susulan pengumuman kepimpinan baharu, kata Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menurut bekas Timbalan Presiden UMNO itu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan ketua umum yang memainkan peranan sebagai penasihat dalam isu-isu melibatkan dasar, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya manakala isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi presiden dengan dibantu Dr Mahathir.

“Saya tidak melihat sebarang pertindihan peranan sebagaimana yang didakwa pihak tertentu yang mengatakan bahawa kami keliru dalam kalangan kami sendiri kerana tiada pemimpin yang jelas.

“Jelasnya, mereka tidak membaca perlembagaan Pakatan Harapan dan mungkin mereka yang sebenarnya keliru,” kata Muhyiddin semasa Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkannya di kawasan Parlimennya di Pagoh, pada Sabtu.

Pada Jumaat dilaporkan bahawa Dr Mahathir dan Anwar yang pernah menjadi musuh suatu ketika dahulu akan  mengetuai Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang.

Pakatan Harapan turut menamakan Muhyiddin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dinamakan sebagai timbalan presiden.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jien dan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub dinamakan sebagai naib presiden pakatan.

Datuk Saifuddin Abdullah dinamakan sebagai setiausaha agung manakala M. Kulasegaran sebagai bendahari.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.