JENAZAH NUR AFINI SELAMAT DIKEBUMIKAN

 

Jenazah Nur Afini Roslan, 14, yang maut akibat terkena bilah pisau mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, di sini, pagi Selasa, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung FELDA Sungai Kelamah, Gemas, jam 10 malam Rabu.

Jenazah sebelum itu dibawa dari Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban pada jam 5.45 petang, selepas proses bedah siasat berakhir.

Jenazah kemudiannya dibawa pulang ke rumahnya di kampung itu untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke kubur jam 9.20 malam.

Pengebumian Nur Afini yang dilakukan dalam keadaan hujan renyai itu, dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga, saudara-mara, guru dan rakan sekolahnya.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan kawasan perkuburan itu apabila ramai ahli keluarga dilihat menangisi pemergian remaja itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, arwah Nur Afini, meninggal dunia di tempat kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman selepas bilah mesin yang melayang itu terkena kepalanya.

Arwah dikatakan sedang menjalani latihan perbarisan sempena hari sukan sekolah di padang sekolah itu ketika kejadian.

Insiden itu turut mencederakan dua rakannya, Abdullah Hazlan, 14 dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13.

Berikutan kejadian itu, hari sukan sekolah yang dijadualkan pada Rabu dibatalkan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.