JIJOE FOKUS KOMANWEL, SUKAN ASIA 2018

 

Juara keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang mengesahkan beliau akan memberi keutamaan khusus kepada persediaan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Jaguh berbasikal negara itu yang lebih mesra dengan panggilan Jijoe dalam kalangan rakan sepasukan, berkata beliau perlu bijak memilih kejohanan yang bakal disertainya pada tahun ini bagi memastikan dirinya berada pada prestasi terbaik ketika menyertai sesuatu kejohanan.

Sukan Komanwel bakal diadakan di Gold Coast, Australia dari 4 hingga 15 April, manakala Sukan Asia dijadual berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September di Indonesia.

“Penyertaan saya pada Kejohanan Berbasikal Asia, penghujung minggu ini bukan sasaran untuk meraih pingat kerana saya perlu menghadapi cabaran lebih besar selepas ini, Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azizulhasni berpuas hati dengan program latihan diatur jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley yang memberi fokus kepada kualiti latihan berbanding tempoh latihan.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.