KAFA LANTIK GONZALES SEBAGAI PENGURUS TRW

 

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan pelantikan Pengarah Teknikal pasukan itu, Alfredo Gonzales selaku pengurus baharu bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super dan kempen Piala Malaysia musim ini.

Naib Presiden KAFA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Negeri, Datuk Rosmadi Ismail berkata, Gonzales akan menggantikan tempat beliau yang akan bertindak selaku ketua kontinjen The Red Warriors (TRW) selepas ini.

“Penolong pengurus yang juga Naib Presiden KAFA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah masih kekal tetapi dengan jawatan penolong ketua kontinjen.

“Ketua jurulatih, Zahasmi Ismail turut kekal menggalas tugas pengendali TRW. Kita juga mengekalkan jawatan lain termasuk penolong dan pembantu penolong jurulatih,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut pelantikan Gonzales, Rosmadi berkata, penerapan teknik bola sepak Amerika Latin dalam pasukan yang dibawa masuk oleh Pengarah Teknikal KAFA itu pasti menuntut perubahan dalam setiap aspek pentadbiran pasukan.

“Pengurus pasukan merangkap pengarah teknikal berperanan dalam merancang, menyediakan dan mengadakan modul latihan.

“Beliau diberi tanggungjawab penuh dan akan dibantu ketua jurulatih dalam menyediakan satu pasukan mantap yang mampu bersaing dalam baki Liga Super dan kempen Piala Malaysia, musim ini.

“Malah, mereka akan bekerjasama dalam merencana dan melaksanakan setiap perkara membabitkan pasukan bermula daripada sekarang,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.