KALIMAH ALLAH : MUFTI PERLIS TIDAK ENDAH KDN

 

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan ke atas penganjur forum Dialog Antara Agama: Teks Agama Tentang Keharmonian Hidup Antara Manusia yang didakwanya mempunyai unsur indoktrinasi avangelisme kepada umat Islam.

Forum anjuran Jabatan Mufti Perlis, Jabatan Agama Islam Perlis dan Majlis Agama Islam Perlis pada Jumaat lalu di sebuah hotel di negeri itu menjemput Pastor Sivin Kit dari Bangsar Lutheran Chirch sebagai tetamu khas.

Menurut Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (BIHALIM) Perkasa, Dr Amini Amir Abdullah, forum antara agama itu, Sivin Kit dikatakan telah menggunakan Bible bertajuk Al-Kitab versi Bahasa Indonesia yang telah lama diharamkan di Semenanjung Malaysia.

“Kita gesa KDN rampas Bible versi ini dari Pastor Sivin Kit, bagaimana ia (Bible) itu masih digunakan oleh penganut Kristian di Semenanjung Malaysia?

“PERKASA difahamkan, Perlis sudah mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Iktikad dan Kepercayaan Agama yang bertentangan dengan Agama Islam (Ahli Al-Sunnah Wa Al-Jamaah).

“Enakmen ini antara lain turut menyenaraikan perkataan seperti Allah dan Rasul yang tidak boleh dikaitkan dengan iktikad atau kepercayaan yang bertentangan dengan Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Amini, jika Pastor Sivin Kit mengaitkan Kristianiti dengan kalimah Allah, maka ia jelas bertentangan dengan enakmen berkenaan dan tindakan sewajarnya mesti diambil.

Tambahan pula katanya, daripada 120 peserta yang hadir pada forum itu, turut melibatkan pelajar dan penduduk tempatan beragama Islam.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin seperti tidak mengendahkan larangan Menteri Dalam Negeri mengenai penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.

Katanya, menurut Perkara 11 (4) Perlembagan Persekutuan, adalah salah bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” untuk menyebar agama mereka kepada orang Islam.

“Tetapi, tidak pula menjadi kesalahan bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” untuk menyebarkan agama mereka kepada orang bukan Islam.

“Bahkan kalimah “Allah” tidak pernah menjadi elemen penting dalam amalan kepercayaan agama Kristian,” tegasnya.

Beliau berkata, dalam forum itu jelas Pastor Sivin Kit cuba mendakyah Kristianiti kepada pelajar Islam dengan “menunjukkan” dan “mengajarkan” bible “Al-Kitab”.

“Pastor Sivin Kit perlu dikenakan tindakan tegas kerana melanggar perintah larangan Menteri Dalam Negeri.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.