KASSIM AHMAD: PIHAK BERKUASA PERLU BERTINDAK

 

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) mahu pihak berkuasa bertindakan terhadap Kassim Ahmad yang mengeluarkan kenyataan mendesak supaya kedudukan Islam dikeluarkan daripada Perlembagaan Persekutuan.

Presiden ASWAJA, Dr Zamihan Mat Zin, berkata ASWAJA memandang serius kenyataan individu anti hadis dan berfikiran liberal itu dan mahu tindakan sewajarnya diambil.

“Kenyataan Kassim Ahmad jelas menghina kedudukan serta kesucian agama Islam apabila mahu perkara membabitkan agama Islam tidak digalas kerajaan dan mahu ia diuruskan secara individu oleh umat Islam.

“Kenyataan ini juga sebenarnya menjustifikasikan tindakan memperlekehkan Perlembagaan yang memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan.

“Selain itu, tindakan provokasi Kassim Ahmad juga jelas berbaur hasutan yang boleh membawa kepada kegusaran masyarakat khususnya dalam kalangan umat Islam yang akhirnya boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Malahan, jika diteliti secara halus kenyataan Kassim Ahmad itu juga turut tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V selaku Ketua Agama Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Kassim dalam satu temubual oleh sebuah portal berita berkata, Islam tidak sepatutnya menjadi agama Persekutuan dan umat Islam di negara ini wajar menguruskan agama tanpa sebarang campur tangan kerajaan.

Sementara itu, ASWAJA mendesak pihak berkuasa agama untuk mengambil tindakan tegas terhadap Kassim yang telah difatwakan sebagai kumpulan anti hadis sesat.

“Mutakhir ini beliau dilihat semakin melalut dengan kenyataan nyanyuk yang boleh mengeruhkan suasana harmoni dalam masyarakat di negara ini.

“ASWAJA juga mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak terhadap Kassim Ahmad dibawah Akta Hasutan 19458 kerana kenyataannya yang menghasut selain boleh menimbulkan kemarahan melampau dan kegusaran dalam masyarakat.

“Sewajarnya ‘penyakit anti hadis nyanyuk’ perlu dicegah sebelum ia menjadi barah,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.