KEADILAN BANTAH KEDUTAAN AS DI BAITULMAQDIS

 

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) membantah keras keputusan Amerika Syarikat yang membuka kedutaan negara itu secara rasmi di Baitulmaqdis semalam.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan tersebut hanya akan memberi impak lebih buruk kepada penyelesaian konflik Palestin-Israel.

“KEADILAN berharap Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan dapat bekerjasama rapat dengan semua rakan dalam usaha mencari penyelesaian yang adil lagi berkekalan terhadap konflik yang berlaku.

“Serangan demi serangan tidak berperikemanusiaan ini telah memperlihatkan sekali lagi kepada masyarakat antarabangsa kekejaman tentera rejim yang tidak menghormati kesucian nyawa manusia dan membelakangkan undang-undang antarabangsa.

“KEADILAN percaya, selagi sokongan AS kepada tentera Israel bersifat menyeluruh bukannya bersyarat kepada pematuhan nilai-nilai kemanusiaan yang universal, selagi itulah keangkuhan rejim ini tiada kesudahannya,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut laporan AFP, tentera Israel sekali lagi mempamerkan kekejaman apabila 55 rakyat Palestin menjadi korban terbaru serangan mereka di sempadan Gaza semalam dalam pertempuran yang meletus susulan perpindahan kedutaaan AS ke Baitulmaqdis.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata krisis kemanusiaan yang paling tragis berlaku pada hari ini bukan sahaja merupakan satu bentuk penindasan terhadap umat Islam malah juga melampaui kepercayaan agama, melibatkan hak asasi, keadilan dan kemanusiaan.

“KEADILAN dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau dan biadab rejim zionis Israel yang bukan sahaja melanggar norma-norma perundangan antarabangsa tetapi juga tata kelakukan bertamadun.

“KEADILAN mengajak bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa, agar konflik kemanusiaan yang menimpa rakyat Palestin ini dapat dihentikan segera.,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.