KEISTIMEWAAN PANGSAPURI BANDARAYA – NAJIB

 

Sesuatu yang istimewa pada projek Pangsapuri Bandaraya @ Sungai Udang, Segambut iaitu sewa dan menabung.

Setiap bakal penghuni membayar sewa RM800 sebulan tetapi kadar sewa adalah RM500, manakala baki RM300 dijadikan wang tabungan yang akan dipulangkan semula selepas 5 tahun sebanyak RM18 ribu.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menganggap konsep ini belum pernah dilaksanakan di negara ini. “Inilah keistimewaan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memikirkan sesuatu yang baik untuk rakyat,

“Janganlah terpengaruh dengan pembangkang, saya masih ingat lagi projek perumahan Kerinci Residensi, di mana 34 orang yang menentang dan kalah di mahkamah, hari ini terpaksa gigit jari…sebab dengar cakap pembangkang,” kata Najib ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Bandaraya @ Sungai Udang, Segambut pada petang Isnin.

Dalam pada itu Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menipu rakyat dalam menyediakan projek pembangunan untuk rakyat.

Najib berkata, kerajaan sentiasa memikirkan hak dan keperluan rakyat tanpa membezakan latar belakang dengan prinsip dan amalan itu sentiasa menjadi pegangan BN.

“Ini selaras dengan cogan yang saya gunakan sewaktu memulakan kepimpinan dan pentadbiran saya sejak 2009, “Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.’

“Jadi, tidak ada rakyat yang akan tertinggal atau diabaikan kerana kita bersikap realistik dan faham bagaimana kita harus mengurus tadbir negara,” jelas beliau.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Najib menegaskan kerajaan mengamalkan dasar intervensi bagi membolehkan rakyat menikmati ‘ekonomi rakyat’ seperti projek perumahan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pengangkutan awam dan bantuan peniaga industri kecil dan sederhana.

 

Menurutnya amalan konsep berkenaan membolehkan ekonomi negara terus dipacu ke hadapan dengan perkembangan kadar pertumbuhan yang sihat dan positif selain projek pembangunan bersifat ekonomi modal dirancang dan dilaksanakan.

“Projek seperti MRT, Keretapi Berkelajuan Tinggi, Lebuhraya Pan Borneo, Pengerang dan sebagainya kita sifatkan sebagai projek besar dan ikonik khusus untuk dimanfaatkan rakyat,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Perdana menteri berkata, apabila ekonomi modal dan ekonomi rakyat dirangkumkan, rakyat akan sedar bahawa kerajaan benar-benar memahami dan tahu apa yang patut dilakukan untuk menentukan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, terpulanglah kepada rakyat untuk menilai kejayaan yang dikecapi hasil tindakan kerajaan dalam menjuarakan hak mereka atau mahu dipengaruhi sentimen pembangkang yang kelak boleh merugikan mereka.

Projek Pangasapuri @ Sungai Udang dijangka siap pada Disember 2019 yang mengandungi 1,251 unit di dua blok setinggi 32 tingkat dan satu blok setinggi 34 tingkat di kawasan seluas 5.51 ekar.

Setiap unit apartmen berkeluasan 807 kaki persegi dan mempunyai 3 bilik dan 2 bilik air. Selain itu, projek perumahan ini juga akan mempunyai kelengkapan seperti surau, dewan, kolam renang dan pelbagai lagi fasiliti buat keselesaaan penduduk.

 

Wartawan Watan-Online

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.