KEJAYAAN MRM DIIKTIRAF MBR

 

Cabaran berkayak dalam cuaca terlampau sejuk dan panas serta berhadapan pusaran air di sepanjang Sungai Nil, Mesir sepanjang 200 kilometer ternyata memberi pengalaman berharga dan kenangan manis kepada tujuh anak Malaysia dari Majlis Rekreasi Malaysia (MRM).

Selepas menamatkan kayuhan selama lima hari di sungai terpanjang di dunia itu pada 15 November lalu, hari ini nama persatuan berkenaan dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records (MBR) atas kejayaan melakukan Ekspedisi Pertama di Sungai Nil Secara Berkumpulan.

Sijil MBR disampaikan wakilnya, Nurasyikin Ramli kepada jurulatih pasukan, Muhamad Nur Azrul Che Zabani, sebaik pasukan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Ahad.

Penyerahan sijil disaksikan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Akmar berkata, kejayaan berkenaan adalah titik mula untuk rakyat Malaysia meneroka sukan lasak di benua Afrika, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini membanggakan negara kita dan memberi semangat kepada rakyat Malaysia lain untuk mencuba pelbagai sukan lasak di benua itu.

“Apa yang penting, kita dapat menjulang nama Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mahu rakyat negara ini sentiasa berani menghadapi cabaran,” katanya.

Sementara itu, ketua ekspedisi, Mohd Haniff Muhamad Zain berkata, cuaca yang terlampau sejuk mencecah 10 darjah Celsius pada sebelah pagi, panas pada suhu 34 darjah Celsius pada tengah hari dan kembali sejuk pada sebelah petang menyebabkan peserta ekspedisi terpaksa sentiasa berusaha menyesuaikan diri sepanjang berkayak.

“Kami berkayak lebih sembilan jam sehari dalam cuaca yang sentiasa berubah secara mendadak ini. Selain itu, air sungai itu juga sangat sejuk, berbeza dengan air sungai di negara ini semasa kami menjalani latihan.

“Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya mengharungi semua cabaran itu berkat usaha dan semangat setiakawan,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.