KEJAYAAN ‘POKET ROCKET MAN’ DIIKTIRAF MBOR

 

Pelumba berbasikal negara, Azizulhasni Awang mendapat pengiiktirafan The Malaysia Book of Records susulan kejayaan bersejarah meraih pingat emas di Hong Kong baru-baru ini.

Pelumba yang bergelar ‘The Pocketrocket Man’ itu menerima dua pengiiktirafan iaitu ‘First to Win Bronze Medal in Olympic Games (Cycling)’ dan ‘First to Win Gold Medal In The Track Cycling World Championship (Keirin Category)’.

Sijil pengiiktirafan disampaikan oleh Pengerusi The Malaysia Book of Records, Tan Sri Datuk Danny Ooi di pejabatnya, Bukit Damansara pada Khamis yang turut dihadiri Azizulhasni.

Ini bukan kali pertama Azizulhasni diberikan pengiiktirafan, malahan pada 2009 pengiiktirafan sama juga diberikan kepadanya hasil kejayaan meraih pingat perak pada temasya World Track Championship di Poland.

Azizulhasni yang ditemui melahirkan rasa bangga dengan pengiiktirafan yang diberikan dan akan menjadikannya sebagai motivasi untuk terus meraih pingat dalam kejohanan besar pada masa depan.

“Terima kasih atas penghargaan ini dan saya berbangga kerana berjaya mencipta satu sejarah untuk dilihat rakyat Malaysia.

“Diharapkan ia dapat jadi pencetus kepada rakyat Malaysia yang lain,” kata Azizulhasni.

Mengenai sasaran masa depan, Azizulhasni berharap untuk meraih emas pertama semasa Sukan Olimpik Tokyo pada 2020 nanti.

Azizulhasni pada 13 April lalu melakar sejarah apabila menjadi pelumba pertama negara memenangi pingat emas bagi acara Keirin Kejohanan Trek Berbasikal Dunia 2017 dengan catatan masa 10.253 saat.

“Pada hari ini, pihak The Malaysia Book of Records memperakui Raja Keirin ini dengan dua sijil pencapaian yang dapat memberikan inspirasi kepada pelapis sukan lumba basikal negara,” kata Ooi dalm sidang media sama.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.