KERAJAAN DAH SOKONG, APA PERLUNYA PERHIMPUNAN?

 

BUAT perhimpunan di tempat awam untuk meminda akta mengundang persepsi dan pertanyaan masyarakat antarabangsa, beginikah proses pembuatan undang-undang di Malaysia?

Masyarakat bertanya, bukankah tempat meminda akta di Dewan Rakyat atau Parlimen? Dan masyarakat bertanya lagi, sejak bila pula kena buat perhimpunan jika mahu pinda akta?

Masyarakat juga akan bertanya lagi, apakah Ahli-Ahli Parlimen di Malaysia selaku pembuat undang-undang dan pelulus akta perlu diajar dan diberitahu oleh orang awam yang buta kayu pasal undang-undang serta akta?

Lebih memalukan jika masyarakat tahu, sudah dua kali akta berkenaan dibaca di dalam Dewan Rakyat, dan selepas dibaca diminta tangguh pula dua kali oleh si pembawa usul?

Ajaib sungguh, bila usul yang dia dibenar bawa, dia sendiri mohon untuk ditangguh. Tiba-tiba dia juga mahu buat perhimpunan untuk menyokong usul yang tidak pernah dibahas itu.

Tindak-tanduk si pembawa usul ini mendorong masyarakat untuk bertanya dan bertanya serta terus tertanya-tanya dengan sikapnya yang semakin meragukan itu.

Hasrat asal si pembawa usul itu nak pinda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). Dia mahu dari segi hukuman penjara, denda dan sebat diperkasakan. Itu saja.

Tapi, dia cuba melencong niat asalnya itu sampai melalut mengajak rakyat jelata berhimpun di ibu kota minggu depan, kononnya untuk dapatkan sokongan, itu yang sukar diterima akal.

Walhal, dia tahu pelulus akta adalah Ahli-Ahli Parlimen, bukan rakyat, dan setiap akta mesti diluluskan di Parlimen, bukan di jalan-jalan raya.

Pembawa usul ini dari dulu lagi suka berpolitik. Apa saja yang boleh dipolitikkan, dia politikkan. Hatta, hudud pun mereka politikkan. Jadi, tidak peliklah kalau sekarang pun mereka sendiri sudah lupa.

Kita tengok pada sesi persidangan Parlimen Mac ini. Adakah si pembawa usul ini akan bangun lagi membaca cadangan pindaan itu untuk kali ketiga atau macammana.

Kalau dia bangun dan baca, kemudian minta tangguh lagi, sudah masanya rakyat pula bangun beri pengajaran kepada mereka, yang tak serik-serik guna agama untuk kepentingan parti.

Satu perkara yang dipersoalkan sehingga hari ini, kenapa mereka ajak rakyat berhimpun? Sekretariat-sekretariat di setiap negeri mula menempah berpuluh-puluh bas sewa khas untuk membawa orang ramai ke ibu kota.

Baju-baju t-shirt pelbagai warna dan tulisan di depan dan belakang mula dipromosikan di laman-laman sosial untuk dijual. Harga jualan antara RM25 hingga RM50 sehelai.

Untung pihak penganjur. Politik serampang dua mata. Nama naik, duit pun dapat.

Bukan susah nak meniaga. Anjur saja perhimpunan. Cetak baju banyak-banyak, kemudian jual. Orang ramai mesti teruja beli@pakai baju sempena program.

APA KATA WATAN : Ingatlah bahawa Allah melihat semua perbuatan kita samada baik atau buruk. Cuti hari minggu baik rehat di rumah layan isteri dan anak-anak. Biarlah ahli-ahli Parlimen buat kerja mereka di Dewan Rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.