KERUGIAN BNM: ANWAR HADIR BAGI KETERANGAN

 

Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan kepada Pasukan Petugas Khas siasatan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an yang berkaitan dengan aktiviti spekulasi mata wang asing.

Anwar yang memegang jawatan itu dalam era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Kementerian Kewangan di Putrajaya pada jam 2.30 petang hari ini dan beredar dua jam kemudian.

Mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dikenakan kawalan ketat oleh pihak berkuasa sebaik sahaja tiba di perkarangan bangunan kementerian itu.

Isteri beliau iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta ahli keluarganya turut  kelihatan, bagaimanapun difahamkan mereka tidak dibenarkan bertemu Anwar.

Sebelum itu, Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan bertanggungjawab untuk menyiasat kerugian sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) yang dialami BNM.

Perkara tersebut mula terdedah selepas bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid mendakwa kerugian dialami BNM pada 1993 adalah lebih besar berbanding yang direkodkan dalam Laporan Tahunan pada 1994 yang hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.