KES BANKRAP PALING TINGGI DI SELANGOR

 

Kes kebankrapan tertinggi dicatatkan di Selangor dengan 72,114 kes (24.30%) manakala yang terendah adalah di negeri Perlis dengan 1,037 kes (0.35%) setakat Ogos 2017, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata untuk keseluruhan jumlah kes kebankrapan yang dicatatkan adalah sebanyak 296,712 kes.

“Daripada jumlah tersebut, bilangan kes tertinggi dicatatkan di negeri Selangor dengan 72,114 kes (24.30%) manakala yang terendah adalah di negeri Perlis dengan 1,037 kes (0.35%).

“Johor pula di kedudukan kedua dengan 50,255 kes (16.94%). Seterusnya adalah Wilayah Persekutuan dengan 46,377 kes (15.63%) dan Pulau Pinang dengan 22,136 kes (7.46%). Negeri-negeri lain adalah Perak 19,733 (6.65%), Sarawak 16,499 kes (5.56%), Kedah 14,343 kes (4.83%), Sabah 12,553 kes (4.23%), Pahang 10,415 kes (3.51%), Melaka 9,316 kes (3.14%), Negeri Sembilan 8,425 kes (2.84%), Kelantan 8,187 kes (2.76%) dan Terengganu 5,322 kes (1.80%),” kata beliau di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Menurut Azalina, perbincangan sedang dijalankan antara pihak kerajaan dengan bank-bank komersial bagi mencari jalan untuk mengurangkan kes kebankrapan daripada terus meningkat di Malaysia.

“Perbincangan bersama bank-bank komersial yang khusus adalah bagi mencari jalan tengah yang boleh dicapai untuk memudahkan proses pelepasan kebankrapan dan seterusnya mengelakkan masalah kebankrapan dari terus meningkat di Malaysia,” katanya.

Selain itu, Azalina juga memberitahu Jabatan Insolvensi Malaysia juga akan mengadakan satu Roundtable Discussion dengan persatuan bank di Malaysia dan pihak-pihak berkepentingan yang berkenaan untuk meneliti langkah dalam usaha mengurangkan masalah kebankrapan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Pihak Jabatan Insolvensi Malaysia akan melaksanakan cadangan ini dalam masa yang terdekat dengan menjalin usaha sama dengan bank-bank komersial dalam membantu mereka yang menghadapi masalah keberhutangan yang serius,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Jabatan Insolvensi Malaysia masih di dalam proses pengumpulan data dan hebahan kepada masyarakat terutamanya golongan bankrap yang disahkan kurang upaya, mengalami penyakit kronik dan penjamin sosial serta waris kepada bankrap yang telah meninggal dunia untuk memohon pelepasan kebankrapan di bawah seksyen 33A.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.