KES SAMAN NURUL IZZAH PERLU ‘MEDIASI’

 

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Faizah Jamaludin memutuskan bahawa kes saman fitnah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu melalui proses ‘mediasi’ sebelum perbicaraan berlangsung.

“Biasanya amalan di Mahkamah Tinggi, semua kes sebelum sampai ke bicara penuh perlu dihantar kepada mediasi untuk satu percubaan untuk selesaikan kes.

“Memandangkan mediasi belum berlaku lagi dalam kes ini, Yang Arif menerima pandangan bahawa ia perlu dirujuk kepada mediasi,” kata peguam Nurul, S Sivarasa di perkarangan mahkamah Kuala Lumpur, pada Isnin.

Mediasi bermaksud meminta kedua-dua pihak berbincang sama ada sesuatu kes boleh diselesaikan secara baik atau tidak.

Bagaimanapun menurut Sivarasa, sekiranya proses itu tidak berjaya, kes itu dijangka dibicarakan pada Ogos depan.

Pada November 2015, Nurul memfailkan saman terhadap Khalid dan Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kerana menuduhnya sebagai penderhaka kepada negara.

Ianya adalah susulan sekeping gambar beliau bersama Jacel Kiram iaitu anak perempuan kepada penceroboh Lahad Datu, Sabah iaitu  Jamalulail Kiram.

Sementara itu,  Sivarasa menjelaskan kes berkenaan ditangguhkan disebabkan pihaknya mempertikaikan sama ada Ismail Sabri boleh diwakili Jabatan Peguam Negara atau sebaliknya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.