KETENGAHKAN KETUA PEMBANGKANG BERKALIBER – TUAN IBRAHIM

 

PAS berharap agar UMNO dapat mengetengahkan calon ketua pembangkang yang berupaya memperjuangkan aspirasi rakyat dengan sempurna.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tugas yang digalas sebagai ketua pembangkang cukup besar memandang individu tersebut perlu mengepalai barisan pembangkang sebagai ‘check and balance’ yang berkesan kepada kerajaan sedia ada.

Oleh itu individu tersebut perlulah terdiri dalam kalangan mereka yang mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk menangani isu-isu berbangkit.

“Mesti terdiri daripada orang yang boleh menangani isu-isu berkaitan negara dan memperbahaskan masalah yang berkenaan.. soal agama, ekonomi dan keselamatan negara.

“Ketua pembangkang perlu menggalas tanggungjawab besar untuk memelihara negara, ekonomi dan cabaran-cabaran dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika dihubungi Watan Online pada Sabtu.

Ketika ditanya tentang ketua pembangkang yang boleh menyatukan semua parti pembangkang di dalam Parlimen, Ahli Parlimen Kubang Kerian ini berkata tugas ketua pembangkang menuntut kepada penyatuan di luar konteks kepartian.

“Sebagai ketua pembangkang, dia tidak lagi mewakili partinya dalam Parlimen walau secara terasnya dua daripada parti-parti tertentu.

“Kerana dalam parlimen kita bertindak sebagai seorang ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

“Jadi yang penting bukan soal penyatuan parti politik tetapi penyatuan terhadap isu yang akan diketengahkan supaya memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” ujar beliau.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.