KETEPIKAN PERBEZAAN BENTUK BUDAYA ‘QURANIC’ – AHMAD ZAHID

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan tahun 1438/2017 di Dewan Seri Negeri Air Keroh, Melaka malam Selasa.

Beliau menyeru umat Islam di negara ini mengetepikan perbezaan terutamanya dari segi politik bagi membentuk budaya Quranic (berpandukan Al-Quran) dalam kalangan mereka.

Beliau berkata, budaya Quranic dapat membentuk akal Quranic yang seterusnya mewujudkan sahsiah dan personaliti seperti yang tercatat dalam kitab suci itu.

“Kepimpinan kita, ulama kita harus mengajar dan mewujudkan budaya Quranic di kalangan ummah secara keseluruhannya.

“Dengan berpandukan Al-Quran, negara kita akan selamat dan insya-Allah masyarakat Quranic ini akan membawa kepada negara yang aman damai,” katanya.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

Seramai 107 peserta qari dan qariah akan memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran Majlis tilawah dan menghafaz berlangsung selama enam hari bertemakan Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah bermula semalam sehingga Sabtu ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, antara perkara yang mengancam perpaduan rakyat masa kini adalah perbezaan fahaman dalam kalangan umat Islam serta penyalahgunaan media sosial seperti penyebaran berita palsu, provokasi, fitnah dan sebagainya.

Beliau berkata, kemajuan teknologi maklumat ini hendaklah digunakan sebaik-baiknya yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.