KHAIRY ENGGAN LAYAN KOMEN TMJ

 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin enggan melayan kenyataan pihak tertentu yang mempertikaikan penyertaannya dalam acara polo berpasukan bagi mewakili Malaysia dalam Sukan SEA 2017 bulan depan.

Khairy menegaskan, sebarang isu yang berkaitan dengan penyertaan atlit dalam sukan berprestij itu perlu dijawab oleh persatuan sukan terbabit.

“Sebarang isu berkaitan pemilihan atlit ke Sukan SEA 2017, biar persatuan sukan yang jawab,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian pada majlis Digital@KL2017 yang berlangsung di Bukit Jalil, pada Jumaat.

Pada Ahad lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengkritik pemilihan seorang ahli politik tidak berpengalaman dalam skuad polo pada Sukan SEA yang akan berlangsung Ogos ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail mencadangkan perlawanan dengan skuad polo Sukan SEA itu disiarkan secara langsung di televisyen untuk disaksikan rakyat di seluruh negara bagi menilai sendiri individu mana layak mewakili negara.

Beliau yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga mencadangkan peminat sukan polo dijemput menyaksikan perlawanan itu dengan harga tiket RM10.

Pada Khamis, Tunku Ismail turut mencabar skuad polo Sukan SEA menentang Kelab Polo Diraja Johor dalam usaha menghentikan spekulasi berhubung isu membabitkan sukan itu.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, pasukan Kelab Polo Diraja Johor terdiri daripada adiknya Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, 2 pemain dan beliau sendiri.

Sementara itu,  menerusi kenyataan media, pengurus skuad polo negara, Datuk Mohamad Zekri Ibrahim berkata,  Khairy tidak diberi keistimewaan, sebaliknya perlu melalui proses pemilihan ketat sebelum terpilih mewakili negara di Sukan SEA ke-29, bulan depan.

Bendahari Persatuan Polo Diraja Malaysia itu berkata, Khairy bermain polo dan menyertai perlawanan antarabangsa sebelum menjadi menteri dan beliau turut menunjukkan komitmen tinggi untuk turut sama menjalani latihan di Pekan, Pahang.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.