KOMUNITI BERPERANAN BENTUK DISIPLIN PELAJAR – MAHDZIR

Foto oleh Muhd Zul Hafiz Bahrin@watanonline

 

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru masyarakat supaya turut sama memainkan peranan dalam usaha melahirkan modal insan yang lebih berkualiti sekaligus mengurangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah.

Beliau berkata, peranan Pegawai Perhubungan Sekolah turut perlu dioptimumkan serta memperkasakan Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah.

“Dalam konteks ini ibu bapa, guru serta ahli komuniti perlu memainkan peranan penting dan perlu menjalinkan kerjasama bagi membentuk sahsiah murid.

“Ini bukan perkara baru, ini adalah permuafakatan lama, ia merupakan salah satu teras utama dalam kolaborasi terhadap perhubungan di sekolah. Ada polis yang akan membuat lawatan di sekolah, membuat perbincangan dengan guru disiplin tentang hal yang berkaitan dengan masalah disiplin.

“Kita ada inisaitif yang ke 110 untuk mengurangkan masalah disiplin di sekolah. Kurangkan masalah sekolah hotspot yang ada kaitan dengan jenayah, jadi kita nak tengok dengan kerjasama ini kita nak lihat ada pengurangan ke tidak,” katanya.

Foto oleh Muhd Zul Hafiz Bahrin@watanonline

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan sahsiah Murid di Putrajaya, pada Isnin.

Seminar tersebut adalah program julung kali diadakan dengan kerjasama pihak polis.

Sementara itu, Mahdzir berkata semua pihak perlu memandang serius terhadap disiplin dan sahsiah pelajar sekolah berikutan peningkatan jumlah melakukan kesalahan disiplin daripada 111,895 pada 2016 kepada 117,721 pada tahun lalu.

Berikutan itu, katanya, beberapa penekanan juga dibuat dengan memperkasakan Jawatankuasa Permuafakatan Daerah yang dipengerusikan pelbagai agensi termasuk polis.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.