KP MCA TANJUNG HILANG IBU, ISTERI DAN ANAK

 

Dalam sekelip mata, Ketua Pemuda MCA Bahagian Tanjung, Lim Swee Bok kehilangan empat orang ahli keluarga dalam satu kebakaran di rumahnya di Pintasan Cecil 5, Pangkalan Weld di Pulau Pinang, awal pagi Rabu.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat negeri berkata, tiga mangsa iaitu dua dewasa dan satu kanak-kanak ditemukan rentung di dalam tandas dan ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan manakala seorang lagi kanak-kanak ditemukan di tingkat bawah.

Mereka ialah isterinya yang berusia 35 tahun dan anak lelaki serta perempuan masing-masing berusia 10 dan 8 tahun serta ibunya berusia 62 tahun.

“Kita menerima panggilan kira-kira pukul 6.08 pagi tadi dan seramai 20 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setakat ini aktiviti memadam kebakaran masih dijalankan dan rumah ini musnah hampir 60 peratus,” katanya.

Difahamkan ketika kejadian kebakaran itu pada pukul 6 pagi tadi, Swee Bok tidak berada di rumah kerana sedang bekerja.

Dalam pada itu, Swee Bok tidak dapat menahan kesedihan ketika tiba di rumahnya pagi tadi ketika kerja-kerja memadam kebakaran dilakukan sehingga terpaksa ditenangkan beberapa jirannya.

Sementara itu, operasi memadam kebakaran kini selesai sepenuhnya dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.