KRISIS SELANGOR : BN TIDAK BERMINAT CAMPUR

 

Barisan Nasional (BN) tidak berminat untuk terbabit dalam kemelut politik yang berlaku di negeri Selangor ketika ini membabitkan PAS dan PKR.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan kuasa yang terletak kepada Sultan Selangor.

“BN lebih berminat untuk memastikan jentera BN pastikan ekosistem yang berubah ini digunakan sebaiknya untuk BN kembali mendakap Selangor.

“Kita perlu lihat usaha Noh (Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Tan Sri Noh Omar) dan rakan pemimpin lain untuk lakukan usaha berterusan bagi dakap semula negeri ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam, pada Jumaat.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungan ‘tahaluf siyasi’ yang sudah terputus antara PAS dan PKR.

Sebelum ini, Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan membatalkan ‘tahaluf siyasi’ PAS bersama PKR.

Namun, kedudukan tiga EXCO PAS di Selangor kekal tanpa perlu meletakkan jawatan sehingga diputuskan Sultan Selangor selaras peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.